nuffnang

Friday, 25 March 2016

Tips Untuk Para Peniaga / Usahawan

Kalau sebelum ni nisa dah masak dengan kerenah pelanggan-pelanggan yang berurusan di atas talian, Tapi kali ni, setelah punya premis perniagaan hak milik sendiri, banyak perkara dan pengalaman baru yang dapat nisa pelajari.

Ya ! custermor ni memang macam-macam ragam.

Ada yang datang kedai, pilih-pilih + bayar + dan terus pergi.
Ada custermor yang datang, tanya itu ini +  itu ini + lepastu keluar.
Ada yang datang dengan senyuman manis alahai, kalau tengok tu memang hilanglah tension dan penat satu hari koje. hihi .
Ada yang datang + senyum dan terus blah (Adeh, yang ni memang xleh blah bakhang. nasib dia senyum, hikhik).
Ada yang datang, pastu bayar duit tu sampai baling-baling depan muka kita. . (Ok, yang ni memang menyirap! ingat haku ni pengemis ke hape) memang ketap bibir tahan sabau je...ggggrrrrrh! sabar ! sabar !

1,2, 3, sedia... klik!
Nisa Biz  Solutions

Nak jadi peniaga @ usahawan yang berjaya tak?


Ha ! sape taknak kan. Kadang-kadang bila rasa down ngan masalah  yang tak diduga, nisa selalu cari dan baca tips untuk menjadi usahawan yang berjaya. Ok la, kira agak membantu memotivasikan diri jugak la. Kalau korang nak tau dan bercita-cita menjadi usahawan yang berjaya boleh baca tips berikut...memang agak panjang, namun sabarlah membacanya. Kata nak berjaya kan, muahahaahaha :)


Keuntungan bukanlah menjadi matlamat utama.

Jadikanlah matlamat utama berniaga adalah untuk mencapai dan mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sekiranya berniaga dengan niat untuk mendapat keuntungan sahaja kita akan mudah terpesong dan melanggar prinsip perniagaan dalam Islam.  Perniagaan yang diberkati adalah perniagaan yang dijalankan secara jujur, telus dan menjadikan pelanggan itu seperti saudara sendiri.


Jujur dan Telus

Usahawan yang jujur akan mudah mendapat tempat di hati pembeli dan pelanggan. Justeru, hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga akan terbina sekiranya tiada unsur-unsur mengambil kesempatan dan mengambil untung yang melampaui batas ke atas pelanggan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda bahawa akan di masukkan peniaga yang jujur dan telus itu ke dalam syurga bersama rasul-rasul Allah dan mereka yang beriman.


Terbuka dengan kritikan

Usahawan yang ingin berjaya tidak pernah takut dan memandang negatif ke atas setiap kritikan yang diberi oleh sesiapa sahaja terhadapnya mahupun produknya. Walaupun kenyataannya kritikan itu sesuatu yang amat pahit untuk ditelan namun ianya perlu dilihat daripada sudut pandangan yang positif agar dapat bertindakbalas dengannya dan memperbaiki keadaan. Sikap sebeginilah yang menujukkan anda seorang yang berani dalam melakukan perubahan dan pembaharuan demi memenuhi keperluan pengguna.


Utamakan kebersihan

Kebersihan dalam penghasilan produk pemakanan adalah amat dituntut di dalam Islam. Menjaga kebersihan bukan sahaja mengelakkan daripada mendatangkan kemudharatan tetapi menghadirkan perasaan selesa kepada pengguna itu sendiri. Apabila timbulnya perasaan selesa tersebut, hati pelanggan akan mudah terikat dengan produk yang dihasilkan dan juga perkhidmatan yang ditawarkan.


Mempunyai impian dan matlamat yang tinggi

Walau dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlulalah bercita-cita tinggi termasuklah juga dalam bidang usahawan ini. Usahlah takut untuk mencipta dan berimpian yang besar jika kita punya kemampuan dan keupayaan untuk mencapainya. Sebagai contohnya anda bermula dengan perniagaan warung yang kecil dan seterusnya mempunyai restoran yang sederhana besar, kemudian ingin membuka beberapa rangkaian di seluruh daerah dan seterusnya negeri. Bukan susah untuk merancang, tetapi  apa yang sukarnya ialah untuk melaksanakannya., namun anda masih punya pilihan samada untuk membiarkan sahaja impian itu berkubur kerana semangat anda yang lemah atau meneruskan dan menjadikannya satu kenyataan. Segala keputusan dan hasil adalah berada di tangan anda, namun yang penting jangan lupa untuk memanjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Bekerjasama dengan saingan dalam pasaran yang sama

Mentaliti masyarakat melayu yang suka dengki, hasad dan ingin untung seorang ini haruslah di kikis dan dibuang terus. Kalau bukan kerana sikap ini mungkin tidak akan ada peniaga yang dibomohkan dan disantaukan oleh orang-orang tertentu yang tidak senang dengan kejayaan seseorang itu. Kita boleh mengambil contoh peniaga bukan Islam seperti bangsa cina contohnya. Mereka benar-benar tolong menolong sesama mereka dalam perniagaan. Seperti pengalaman seorang pelajar ini yang ingin membeli telefon bimbit di sebuah kedai di ibu kota, namun model yang diinginkan tiada di kedai tersebut, tetapi peniaga cina ini tidak membiarkan pelanggannya itu berlalu begitu sahaja sebaliknya membawanya ke kedai yang berhampiran untuk membantunya membuat pilihan di sana. Perkhidmatan ini sangat memuaskan hati pelajar tersebut. Bagaimanakah peniaga cina tersebut boleh melakukan sebegitu sedangkan dia tidak mendapat sebarang untung pun di situ, hebat sungguh cara berbisnes bangsa cina ini.
Perbuatan jatuh- menjatuhkan sesama peniaga juga tidak haruslah berlaku dalam perniagaan Islam, sebaliknya haruslah bergandingan memajukannya. Menubuhkan persatuan peniaga juga boleh dipertimbangkan sebagai medan perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam perniagaan. Melaluinya juga para peniaga boleh bertukar-tukar pendapat dan fikiran dan juga pengalaman untuk mengembangkan lagi perniagaan.


 Sesekali tidak menjual barangan haram

Ada sebilangan peniaga yang tidak menganggap penjualan barangan yang haram ini sebagai satu perkara yang harus dijauhi. Barangan yang haram ini bukanlah sahaja seperti yang kita maklum iaitu arak, daging babi atau yang bersangkutan dengannya tetapi barangan curi, barangan yang boleh memudaratkan seperti dadah dan sebagainya, barangan yang salah di sisi undang-undang seperti penjualan senjata api dan daging binatang liar tanpa lesen yang sah juga dikategorikan sebagai barangan haram. Perniagaan dalam Islam ini haruslah barangan dan perniagaan yang tidak melibatkan barang yang mutashabihat( ragu) daripada segi kandungan dan pembuatannya. Islam terlalu luas skopnya namun kenapa masih ada di antara kita yang masih ingin melibatkan dalam perkara syubhah begini.
Usahawan muslim perlulah mengambil langkah yang lebih tangkas dan cekap dalam memajukan bisnes yang melibatkan penghasilan makanan bagi umat Islam ini. Kandungan dan penjualan makanan umat Islam kini semakin tidak diambil peduli dan dipandang ringan oleh sesetengah pihak berwajib. Pengguna juga kurang mengambil berat apa yang dimakan mereka, tidak kira samaada makanan itu halal ataupun tidak, apa yang penting bagi mereka adalah sedap. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan soal pemakanan ini sebab ia akan menjadi darah daging kita. Bantulah usahawan muslim untuk terus hidup dan maju dalam perusahaan mereka.  Wallahua’alam.


Jujur dan Amanah – Jangan Menipu

Jujur dan amanah!! Itulah sifat utama yang perlu ada pada seorang peniaga Muslim. Seseorang peniaga yang menipu dalam jualannya tidak selamanya akan terus memperoleh keuntungan. Masyarakat pada hari ini semakin bijak menilai dan menganalisis pastinya akan dapat menghidu penipuan yang dijalankan. Akhirnya, kerugian akan berpatah balik kepada peniaga kerana kepercayaan para pembeli semakin berkurangan. Maka atas sebab itu, Islam telah mengunjurkan agar setiap Muslim yang menjalankan urusniaga mestilah bersifat jujur dengan perniagaannya. Jangan sesekali menjual barangan yang telah rosak, menipu sukatan atau timbangan, menjual sesuatu dengan mengambil keuntungan yang sangat besar sehingga menyukarkan pembeli dan sebagainya. Dari segi amanah pula, seseorang peniaga Muslim tidak sepatutnya berbuat seleweng demi meraih keuntungan semata-mata. Aktiviti jual beli yang diselangi dengan perbuatan pecah amanah hanya merugikan kedua-dua belah pihak. Pecah amanah ini seringkali berlaku kepada syarikat-syarikat besar yang mana ada dalam kalangan ahlinya yang membocorkan rahsia syarikat kepada pihak-pihak berkepentingan. Apa yang boleh diperkatakan, pecah amanah boleh berlaku disebabkan sifat tamak yang membuak-buak dalam diri. Berpunca daripada ini juga, boleh timbul permasalahan yang lain seperti rasuah dan sebagainya. Sayangnya, ramai peniaga Muslim pada hari ini yang bersikap tidak sabar dan gelojoh untuk meraih keuntungan dalam perniagaan sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup menipu dan memperdaya para pengguna. 

Dalam Al-Quran dengan jelas telah menyebut dan mengangkat martabat orang-orang yang bersikap jujur iaitu melalui Surah al-Taubah ayat 119 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang jujur.”

Melalui ayat ini, dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa kejujuran itu merupakan sifat yang penting dan terpuji serta patut diamalkan bukan hanya dalam konsep perniagaan sebaliknya juga dalam hal-hal kehidupan seharian.


Hindari Riba’

Apa itu riba? Mengikut pengertian Syarak, riba ialah akad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan Syarak ketika akad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya. Pasti masih ramai para peniaga Muslim yang belum mengetahui tentang konseptual riba dengan lebih mendalam. Tetapi, apa yang boleh diperkatakan adalah riba merupakan suatu perbuatan yang diharamkan oleh ALLAH SWT untuk diamalkan dalam perniagaan. Firman ALLAH SWT dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian adalah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal ALLAH SWT telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada ALLAH SWT. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Al-Baqarah, 2:275)

Konsep riba pada hari ini dilihat semakin berleluasa tidak kira dalam perniagaan yang kecil mahupun yang besar dan tidak dinafikan begitu ramai dalam kalangan peniaga Muslim juga terlibat dengan amalan riba. Perlu diketahui bahawa riba terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Riba Al-Fadhl, Riba Al-Yad, dan Riba’ Al-Nasi’ah.



Riba Al-Fadhl
Riba jenis ini bermaksud riba yang dibayar lebih kepada sesuatu pihak yang menukarkan barang. Sebagai contoh, satu kilo beras mahsuri ditukarkan dengan satu kilo beras yang lain iaitu berlainan jenis dan kualiti.

Riba Al-Yad
Riba yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis akad jual beli. Contohnya, seseorang individu yang berakad sebanyak RM50.00 tetapi apabila diluar akad dibayar RM60.00.

Riba Al-Nasi’ah
Riba Al-Nasi’ah adalah riba yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya. Mengambil contoh pinjaman yang dilakukan hanyalah sebanyak RM100.00 tetapi yang perlu dibayar semula adalah berjumlah RM120.00.

Oleh itu, para peniaga Muslim perlulah menjauhi amalan riba dalam menjalankan perniagaan masing-masing. Riba tidak langsung menguntungkan malah hanya memudaratkan serta turut mengundang dosa dan balasan seperti yang telah disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim. Riba juga hanya akan menyukarkan dan menindas pihak pembeli atau pengguna kerana mereka perlu membayar lebih untuk mendapatkan sesuatu keperluan. Dalam situasi yang lain, riba boleh dikategorikan sebagai satu pemerasan dan penindasan terhadap orang-orang miskin kerana mereka akan terus terbeban untuk menjelaskan hutang sedia ada disebabkan bunga yang sentiasa bertambah apabila hutang lambat dibayar. Konklusinya, hindarilah riba!! Riba hanya akan mendorong pelakunya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam sangat menekankan agar umatnya senantiasa berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.


Saling Redha-Meredhai

Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang mempunyai elemen saling redha meredhai antara satu sama lain iaitu antara penjual dengan pembeli. Dalam erti kata lain, jual beli yang dijalankan secara paksa adalah tidak dibenarkan sama sekali. Setiap pembeli mempunyai hak untuk membeli dan keputusan untuk membeli atau tidak sesuatu barangan terletak kepada mereka. Maka, adalah tidak wajar sama sekali sekiranya seseorang penjual memaksa orang lain untuk membeli barangan yang dijual. Bukan itu sahaja, paksaan juga boleh menimbulkan pergaduhan dan perselisihan antara kedua-dua belah pihak. Persoalannya, mengapakah elemen saling redha-meredhai penting dalam diri setiap peniaga dan pembeli? Hal ini demikian kerana, Firman ALLAH SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan secara) redha-meredhai antara kamu.” (Al-Nisa, 4:29)

Bagi mencapai sifat redha-meredhai, para peniaga dan pembeli juga seharusnya mempunyai satu sikap lain iaitu boleh bertolak ansur sesama sendiri. Umumnya, tawar-menawar sudah menjadi satu kebiasaan dalam perniagaan di antara pihak penjual dengan pihak pembeli. Oleh itu, kedua-dua belah pihak perlu mengetahui akan had atau batas dalam tawar-menawar. Sekiranya boleh, tidak menjadi masalah untuk para peniaga bertolak ansur dengan memberikan harga yang lebih rendah dan berpatutan seperti yang ditawarkan oleh pembeli. Akan tetapi, pihak pembeli juga seharusnya sedar supaya mereka tidak meminta harga yang terlalu rendah kerana boleh mendatangkan kerugian kepada pihak peniaga. Oleh itu, bermula daripada sinilah perlunya sikap bertolak ansur antara satu sama lain dan hasil daripada bertolak ansur tersebut boleh menimbulkan rasa saling redha-meredhai antara penjual dengan pembeli sekiranya proses jual beli tersebut berlaku.

Tujuan Islam menekankan konsep saling redha-meredhai antara satu sama lain adalah untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan tertindas. Perniagaan sepatutnya berjalan dalam suasana yang harmonis dan boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Perlu difahami bahawa konsep perniagaan sangat luas. Perniagaan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu kontrak iaitu kedua-dua belah pihak yang berkontrak mestilah mendapat keuntungan masing-masing. Sikap redha-meredhai adalah bertujuan menghindarkan rasa tidak puas hati dan tertipu yang berkemugkinan boleh berkembang menjadi suatu masalah yang lebih besar.


Jauhi Sikap Tamak!!

Tamak merupakan sikap yang perlu dijauhi oleh setiap peniaga Muslim. Sikap tamak hanya akan memakan diri sendiri. Setiap peniaga Muslim perlu berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan rezeki. Peluang yang datang dalam perniagaan seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Namun perlu diingat, janganlah sesekali kita mengambil hak atau peluang orang lain dalam perniagaan dengan niat untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda. Pepatah Melayu ada menyebut, ‘orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.’ Hakikatnya, pepatah ini adalah benar.

Jauhilah sikap tamak sebaliknya amalkanlah sikap bantu-membantu antara satu sama lain. Bantu-membantu antara para peniaga dengan para peniaga atau para peniaga dengan pembeli sudah pasti dapat menyuburkan lagi ekonomi semasa dan perniagaan juga akan bertambah baik. Sebagai seorang peniaga Muslim, kita perlu sentiasa berusaha dan percaya bahawa rezeki ditentukan oleh ALLAH SWT. Sekiranya kita berusaha dengan cara yang baik, InsyaALLAH kita akan memperolehi rezeki yang baik. Jika sebaliknya berlaku, kita juga boleh memperoleh rezeki tetapi fikirkanlah tentang status rezeki yang diperolehi sama ada halal atau haram.

Perlu diketahui, perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang amat diredhai oleh ALLAH SWT sekiranya diuruskan dengan betul dan baik. Dalam perniagaan juga, untung dan rugi menjadi satu risiko yang biasa. Bagi mana-mana peniaga Muslim yang telah menjalankan perniagaan dengan sebaik-baiknya, tetapi masih mengalami kerugian, jangan sesekali berputus asa. Teruskan berusaha dan berikhtiar untuk memajukan perniagaan anda kerana usaha yang berterusan pasti akan membuahkan hasil pada masa akan datang. Elakkanlah daripada bersikap tamak dan gelojoh serta hindarkanlah konsep riba dalam perniagaan anda. Masih banyak cara dan strategi berkesan yang boleh diguna pakai bagi mengembangkan lagi perniagaan yang anda usahakan. Berniagalah dengan mengikut pandua-panduan yang telah digariskan oleh Islam kerana sudah pasti tidak akan membawa kepada kerugian sebaliknya boleh membawa kejayaan kepada anda baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Semoga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat daripada-Nya. InsyaALLAH/




::Sharing is caring ::








2 comments:

Terima Kasih sudi komen yang baik-baik ^_^