nuffnang

Showing posts with label Kisah teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah teladan. Show all posts

Sunday, 30 August 2015

Kisah Teladan : Aku Dimakamkan Hari ini


Aku Dimakamkan Hari Ini
 
Kematian
 
Perlahan, tubuhku ditutup tanah, perlahan, semua pergi meninggalkanku, masih terdengar jelas langkah langkah terakhir mereka, aku sendirian, di tempat gelap yang tak pernah terbayang, sendiri, menunggu keputusan...

 
Isteri, belahan hati dan  jiwa turut pergi, anak, yang di tubuhnya darahku mengalir, juga turut pergi, kawan baik, rakan bisnes, atau orang-orang lain tidak ada lagi menemaniku kini. Aku bukan siapa-siapa lagi bagi mereka.
 
 
Isteriku menangis, sangat pedih, aku pun demikian, anakku menangis, tak kalah sedih, kawan baikku memberikan ucapan-ucapan takziah, tetapi aku tetap juga sendiri disini, menunggu hari perhitungan yang entah bila...
 
 
Menyesal sudah tak mungkin, taubat tak lagi mampu, dan ungkapan maaf pun tak mungkin didengari, aku benar-benar harus sendiri...
 
 
Ya Allah, (entah dari mana kekuatan itu datang, setelah sekian lama aku tak lagi dekat dengan-Nya), Andai saja Kau berikan aku satu lagi kesempatan, jika kau pinjamkan lagi beberapa hari milik-Mu, beberapa hari saja...
 
 
Aku ingin berjuang, memohon maaf dari mereka, yang selama ini telahku perlakukan zalim terhadap mereka, yang selama ini hidup sengsara kerana aku, yang tertindas dalam kuasaku.. yang selama ini aku bohongi, yang selama ini aku sakiti hati dan perasaan mereka....
 
 
Aku harus kembalikan, semua harta kotor ini, yang kukumpulkan dengan wajah gembira, yang kuragut dari sumber yang tak jelas, yang kumakan, bahkan yang kutelan. Aku harus tunaikan janji janji palsu yang sering ku katakana dulu...

 
Ya Allah, berilah aku beberapa hari milik-Mu, untuk berbakti kepada ayah dan ibu tercinta, teringat kata kata kasar dan keras yang kulemparkan dan menyakitkan hati mereka, maafkan aku ayah dan ibu, mengapa tak kusadari betapa selama ini besarnya kasih sayang dan kesempatan yang Kau berikan padaku, untuk berkumpul dengan keluarga,  isteri dan anakku, untuk sungguh sungguh beramal soleh, Ya Allah, sungguh aku ingin bersujud kepada-Mu, bersama mereka ...
 
 
Begitu sesal diri ini kerana hari hari yang telah berlalu tanpa makna lagi kini. Kesenangan yang pernah kuraih dulu, tak ada ertinya sama sekali. Mengapa aku sia siakan begitu saja sewaktu hidupku yang hanya sekali cuma....andai aku bisa putar kembali waktu itu Ya Allah ...
 
 
Aku dimakamkan hari ini, dan semua tidak mampu diundur lagi, semua sudah terlambat, dan aku harus sendiri di sini, untuk waktu yang entah bila pengakhirannya...









 


Thursday, 27 August 2015

Kisah Teladan : Si Pemalas Dengan Abu Hanifah


Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata,

"Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."
 
Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Setelah sampai kembali ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.
 
Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis,

" Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa wahai kawan, tetapi berusahalah terus terusan."
 
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi,

"Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kemarin, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."
 
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.
 
 
 
 
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya,

"Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan berbuat demikian. Hendak senang mestilah bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah SWT tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah SWT tidak akan mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedaya mungkin dengan pertolongan Allah. In sya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah railah segera pekerjaan, saya doakan semoga berjaya."
 
Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.
 
Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup dan tidak melupakan nasihat orang yang memberikan nasihat itu.
 
Dalam Islam tiada istilah pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan.







 

Monday, 24 August 2015

Kisah Abdullah Ibn Mas'ud Dan Pencuri

 
 
Ini adalah kisah tentang salah seorang sahabat Nabi saw. Namanya 'Abdullah ibn Mas’ud', semoga Allah meredhainya. Beliau memang bukan sahabat biasa. Beliau juga seorang ulama.
 
Tentangnya, Rasulullah saw pernah berkata :
 
“Sesungguhnya kaki ( Ibnu Mas’ud ) di timbangan Allah pada hari kiamat itu jauh lebih berat daripada gunung Uhud.”
 
Bagaimanakah gerangan perilaku beliau sehingga mendapatkan kurnia sebegitu ? Berikut adalah salah satu sebab…
 
Suatu hari, beliau pergi ke pasar dengan membawa beberapa keping dirham untuk membeli sedikit makanan. Tanpa diduga, ada seorang pencuri yang mencuri dirham-dirham itu. Orang-orang yang melihat peristiwa itu, lalu mendoakan kesialan untuk pencuri itu.
 
Namun Abdullah ibn Mas’ud mengatakan :
 
“Kalian jangan mendoakan kesialan untuknya. Akulah pemilik dirham-dirham itu, aku akan berdoa untuknya, dan harap kalian mahu mengaminkan doaku…”
 
Beliau kemudian  berdoa :
 
“Ya Allah ! Bila engkau mengetahui bahawa orang yang mencuri dirhamku adalah orang berhajat padanya, maka berkahilah ia dengan dirham itu, dan bila Engkau mengetahui bahawa ia sebenarnya tidak berhajat padanya, maka Ya Allah ! Jadikanlah ini sebagai kemaksiatan terakhir yang ia lakukan dalam hidupnya.”
 
( Wa ‘akhlish Al ‘Amal, hal.91 )
 
Demikianlah tutur kata dari sebuah hati yang bersih. Dan itulah sumber dari segala ketenangan jiwa. Menyerahkan semuanya pada ketetapan Allah Ta’ala. Sebab yang terbaik adalah apa yang dipilihkan oleh Allah untuk kita.




 
 

Saturday, 25 June 2011

Rabiatul Adawiyah~Serikandi yang tercipta

Rabiah ialah anak keempat dalam satu keluarga miskin dilahirkan pada kurun pertama Hijrah di kota Basrah, tebing Sungai Dajlah, Iraq. Bapanya bernama Ismail bin Muhammad Dawi. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat patuh dan taat pada agama, sukakan kebaikan dan sentiasa berdamping diri dengan Al Quran. Ayahnya seorang yang warak, sentiasa memenuhi masa dengan membaca Al Quran, memperbanyakkan sembahyang sunat, dan berpuasa serta hati tak lekang dari berzikir mengingati Allah.


Oleh kerana Rabiah anak yang bongsu, dia selalu mengikuti bapanya dan berdamping dengan segala program ayahnya. Sejak kecil lagi beliau telah dapat menghafaz Al Quran. Selain itu Al Quran juga menjadi penawar hatinya dan ubat bagi mengubati segala penyakitnya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari adik beradiknya yang lain. Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bila waktu makan, beliau makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.

Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya.
“Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat.”

Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya yang luar biasa sejak dari kecil itu, ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah Al Adawiyah akan menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah. Bagaimanapun untuk mencapai darjat yang tinggi itu beliau terpaksa menghadapi berbagai ujian dan penderitaan hidup. Allah SWT tidak akan mengangkat darjat seseorang dengan semudah atau tanpa diuji terlebih dahulu.

Ujian pertama yang terpaksa ditempuhi ialah ayahnya meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama selepas itu. Ini membuatkan beliau terpaksa berpisah dengan adik beradiknya yang lain. Tinggallah Rabiah yatim piatu dan sebatang-kara tanpa saudara mara tempat mengadu dan bergantung hidup. Ketika itu ia hidup penuh dengan linangan air mata dan kesedihan memanjang. Ini membuatkan dia sedar dan insaf bahawa ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk mengajarnya agar jangan bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allahlah tempat mengadu dan Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih sayang. Kini beliau menyerahkan dirinya bulat-bulat pada Allah.

Dalam keadaan demikian Rabiah telah bersua dengan seorang lelaki tua yang sedang bertasbih dan memuji Allah. Beliau menasihatkan Rabiah supaya bersabar kerana itu merupakan ujian Allah. Rabiah sentiasa diperlihatkan dengan mimpi-mimpi yang baik dalam tidurnya serta membuatkan beliau tenang dan sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam satu kafilah, tanpa disangka-sangka kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk dijadikan barang rampasan dan beliau telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.

Kini ia terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan yang baru. Siang hari terpaksa bekerja kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun begitu, walaupun keletihan, di malam hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir.

Suatu hari, ketika beliau ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Rabiah terpaksa lari menyelamatkan diri tetapi malang, kakinya telah tergelincir lalu jatuh. Tangannya patah lantas beliau berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku ini anak yatim lagi abdi. Sekarang tanganku pula patah. Sungguh aku tidak peduli itu semua asalkan Engkau redha padaku, dan tunjukkanlah akan keredhaanMu itu.”
Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan menyuruh ia bersabar dan mengingatkan ia akan janji-janji Allah di akhirat kelak. Selepas peristiwa itu pergantungan hatinya dengan Allah semakin teguh. Segala pengalaman yang dilalui dalam menempuh hi¬dup ini yang penuh onak dan duri serta malapetaka dan bahaya menjadikan beliau seorang yang tahan diuji. Segala ujian yang ditimpakan itu semakin meneguh dan menguatkan keyakinannya terhadap Allah.

Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah terdengar suara rayuan dan munajat Rabiah kepada Allah. Ia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Alllah, katanya: 

Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku dan siangku dengan melakukan ibadat padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi eahaya yang terang-benderang sedangkan dalam bilik itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana tidak membebaskan orang yang begitu hampir dan cinta kepada Allah.

Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah dan memberitahu bahawa ia menyesal kerana memperhambakan Rabiah selama ini bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah. Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia lebih rela meninggalkan rumah itu dan mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.

Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah dan memuji-muji Allah, mencurahkan harapan dan isi hatinya kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaan kerana dia dapat melihat Allah dengan ‘ainul basyirah’. Dia sedar hanya Allah sahaja yang layak dicintai dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.

Berbagai karamah yang Allah kurniakan padanya dalam pengalaman kerohanian yang dilaluinya. Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata begitu dengan niat hendak menunjukkan kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas air).

 Rabiah Al Adawiyah berkata, “Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri dari perhimpunan aulia’ Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?” Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah salah satu karamah yang Allah kurniakan kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu.
Rabiah berkata lagi, “Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”

Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan - Rabiatul Adawiyah

Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiah Al Adawiyah sentiasa menangis. Air matanya terlalu mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya. Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis? Rabiah menjawab, “Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku.”

Kehidupan Rabiah Al Adawiyah terlalu miskin dan zuhud. Di dalam rumah beli¬au hanya terdapat sebuah balang yang mengandungi air minum dan wuduk, sebiji bata sebagai bantal dan sehelai tikar buruk sebagai alas tempat tidur. Melihatkan keadaan beliau yang terlalu dhaif, orang pun bertanya kepadanya, “Kenapa kamu hidup begini, sedangkan kamu mempunyai ramai teman yang hidup kaya raya dan mereka tentu boleh membantumu?”

Rabiah Al Adawiyah berkata, “Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”

Sungguhpun keadaan rumahnya begitu, ia tetap menjadi kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dan secara tidak langsung merupakan sebuah sekolah untuk mempelajari “Al Hikmah” kerana orang ramai dapat menilai diri sendiri dari nasihat-nasihat beliau. Mereka juga datang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, tasawuf, ilmu jiwa dan lain-lain.

Antara doa Rabiah Al Adawiyah yang termasyhur ketika beliau bercakap-cakap dengan Tuhan dan tatkala merintih di waktu sunyi berbunyi: “Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.”

sumber : kisahteladan.info


In-Team

Rabiatul Adawiyah

Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang-bayang
Gelap walau di suluh cahaya

Pepasir pantai pun berubah
Pabila hakikat melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi

Kau hias rumah kasih abadi
Serik menghiasi singgahsanamu
Kau berjaya merubah segala
Kasih semalam menjadi esok

Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Dari mu Tuhan pencipta alam

Rabiatul Adawiyah
Serikandi yang tercipta
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi ikhtibar

Asmaramu dihampar suci
Pintalan dari awanan putih
Membuahkan titisan rahmat
Menyuburkan mawar yang layu

Namamu menjadi sanjungan
Ikutan ummah sepanjang zaman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah

Sumayyah~namamu harum zaman berzaman

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.
Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.
“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.
“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.
Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.
“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.
Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.




Sumayyah : hijaz

dalam diri selembut sutera kau miliki iman yang teguh
kau nyalakan obor agama dirimu bak lentera
dibelenggu jahiliah kau tempuh dgn berani
walaupun jasadmu milik tuan tetapi hatimu milik Tuhan…
padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
tika suami dan anak dibaring menghadap mentari
disuruh memilih iman atau kekufuran
samar jahiliah atau sinaran akidah…..
sabarlah keluarga yasir
bagimu syurga disana
dan kau pun tegar memilih syurga
walau terpaksa mengoban nyawa
lalu tombak yang tajam menikam
jasadmu yang tiada bermaya
namun iman didadamu sedikit tidak berubah…
darahmu menjadi sumbu pelita iman
sumayyah kaulah lambang wanita solehah
tangan yang disangka lembut menghayun buaian
menggoncang dunia mencipta sejarah…
sumayyah kau dibunuh didunia sementara
untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
kaulah wanita terbaik
sebaik manusia
namamu tetap menjadi sejarah…


Friday, 24 June 2011

Hati Kita Siapa Yang Tau

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.


paku

"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.

"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang Pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.

Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.

Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata
"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya.

Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya .

Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada.

Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari.
Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

MAAFKAN SAYA SEKIRANYA SAYA PERNAH MENINGGALKAN KESAN BERLUBANG DI DINDING HATI ANDA. SEMAKIN UMUR SAYA BERTAMBAH, SIFAT KESABARAN PUN MAKIN MENINGKAT......DAN SEMOGA SAYA DAPAT BERFIKIR BAIK DAN BURUK SEBELUM MEMBUAT SESUATU KERJA......AMIN".



TQ for reading :)

Monday, 30 May 2011

Aduhai 4 orang isteriku


SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya.

Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;

ISTERI KEEMPAT - adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA - adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA - adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA - adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari
suami&isteri



TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)

Sunday, 29 May 2011

Hidup Ini Singkat

Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.


Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang.

Selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali.

Pendayung sampan itu mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm. Hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu.

Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

"Hampir seumur hidup saya." Jawab pendayung sampan.

"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi.

"Ya".

"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu."

Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya.

Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala.

"Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pedayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh.

Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting.

Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?"

Professor itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.


PENGAJARAN:

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan. Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi.

Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri, untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan untuk digunakan dan boleh digunakan?



TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)

Monday, 23 May 2011

Iman Semut vs Iman Manusia

Semut






Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!!


IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil: "


ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN" .



TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)

Friday, 13 May 2011

Kisah Ramadhan : "Tempahkan bilik ku di neraka"

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat
menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya
walaupun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.
Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang
dipenuhi uban menegurnya.

"Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan

ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian

begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki.... " nasihat orang tua itu.


gambar hiasan

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. "Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"
Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat.

"Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah

bilik di neraka jahannam untukku, " katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa

mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang
wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang
lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas
tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum-hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.
Sepuluh minit kemudian bas pun tiba perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut
di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang
lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi
memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.

Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan.
Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi
mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya.
Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat
mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur
sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.

Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah
ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek.

Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini
atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata kata yang
sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam. Ingatlah teman, kita boleh
melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja
yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh.

Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul 'alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu.

Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini. Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini.

Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan agar Dia memberikan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita.

Dipetik dari majalah Iskandariah Mesir 'MANAR ISLAM'




TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)


Thursday, 12 May 2011

Lidah & Hati



Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: "Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan."


lidah

lidah


Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing itu.


Hati

hati


Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu.

"Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?" tanya ibu tersebut kepada Loqman.

Loqman menjawab: "Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya."

Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.


JOM kawan2, pakat cuci hati....;)
semoga kita sentiasa didalam keberkatanNYA..INSYAALLAH.






TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)