nuffnang

Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Thursday, 14 July 2016

Panduan Bila Menziarahi Orang Sakit dan Meninggal

Setiap detik akan ada insan yang meninggal dan setiap detik juga ada insan yang dilahirkan ke dunia.

Kematian


Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.

Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab itu.

Namun dalam keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada jenerasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya.

Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu kita meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu.

Sejajar dengan itu maka terbitlah risalah kecil ini bagi memberikan sedikit bimbingan dan panduan. Seperkara yang perlu diingat di samping kita menguruskan jenazah, diharap ianya dapat menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup untuk bersiap sedia menuruti jejaknya suatu hari nanti.

Dengan adanya panduan-panduan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada para pelawat jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita.


Melawat Orang Yang Sakit


Hadis Rasulullah saw bersabda mafhumnya :

“Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu.”

Hukum melawat orang sakit

Adalah fardhu kifayah melawat orang yang sakit menurut jumhur pendapat ulamak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra mafhumnya :

“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. 
(Hadith Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)



Adab Menziarahi Pesakit


1. Lawatan ke tempat orang sakit hendaklah tidak makan masa yang lama.
2. Sunat duduk berhampiran dengan kepalanya.

3. Berdoalah untuk pesakit agar dia sembuh. 
Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah : 
Bahawa Rasulullah saw biasa memohon perlindungan bagi sebahagian keluarga baginda. Disapukan dengan tangan kanannya lalu berkata : 

“Ya Allah wahai tuhan bagi sekelian manusia, lenyapkanlah penderitaan dan sembuhkanlah, kerana engkau yang dapat menyembuhkan. Tidak ada penyembuh kecuali penyembuhmu. Yakni penyembuh yang tidak meninggalkan penyakit lagi”.

4. Berilah kata-kata semangat kepada orang yang sakit dan gembirakan dia.
5. Menziarahi di waktu-waktu yang sesuai serta mengelakkan daripada waktu-waktu senja, makan dan lewat malam.
6. Sekiranya ia berhutang segera jelaskan hutangnya (mengingatinya).






Tanda-tanda Orang Yang Hampir Ajal


1. Tunduk hidungnya (hidungnya jatuh).
2. Pucat/hilang cahaya mukanya.
3. Lurus kakinya (lurus tapak kakinya).
4. Tumitnya lembut.
5. Renggang pergelangan tangannya dan juga sendi-sendinya.


Adab Menziarahi Orang Yang Hampir ajal (sedang nazak)


1. Menghalakan pesakit yang nazak ke arah kiblat.
2. Talqin/peringatan kepadanya.
3. Ajarkan dia mengucap kalimah لا اله الا الله tidak usah ditambah dengan kalimah محمد رسول الله .
4. Bacalah Surah Yasin dengan nyaring dan Surah Ar-Ra’du dengan perlahan.
5. Sunat menitiskan air ke dalam mulut sekiranya terdapat tanda-tanda pesakit dahaga.



Hikmah Menziarahi Orang Sakit


Sakit adalah datangnya dari Allah. Penyakit yang ditimpa ke atas kita sebenarnya mengandungi hikmah. Antaranya ialah :

1. Memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa kita ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkannya melainkan Allah.
2. Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi dugaan Allah.
3. Allah ingin mengampunkan dosa kita yang kita telah lakukan samada secara sedar ataupun tidak.



Kedatangan Sakaratul Maut


Rasulullah saw bersabda mafhumnya :
“Tidak akan keluar nyawa seseorang mukmin sebelum ia melihat tempatnya dalam syurga dan tidak keluar nyawa seseorang kafir sebelum dia melihat tempatnya di dalam neraka”.
Beredar Roh Pada Jasad

1. Hujung kaki ke lutut.
2. Lutut ke pusat.
3. Pusat ke dada.
4. Dada ke leher (halkum).



Keadaan Malaikat Maut Ketika Mencabut Nyawa




Keadaan Malaikat Maut terhadap orang yang sudah sampai masanya menemui Allah swt akan menemui 2 keadaan :

1. Yang beriman (keadaannya dengan rupa yang mengembirakan).
2. Yang tidak beriman (keadaannya dengan rupa yang menakutkan dengan keadaan demikian kesakitan orang yang hampir mati tidak dapat dirasai oleh orang lain melaikan kepada mereka yang merasainya sahaja.
3. Beberapa ulamak berpendapat : “Bahawa mati itu terlebih sangat kesakitannya daripada seribu palu dengan pedang dan terlebih sakit daripada gergaji dengan beberapa gergajinya dan terlebih sakit daripada gunting dengan beberapa gunting”.



Perkara Sunat Selepas Kematian.




1. Mengingati tempat kembali, berdoa dan bersabar.
2. Sunat diucapkan : 
“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita akan dikembalikan”.
3. Memberi ucapan takziyah (menyabar) menghibur orang yang ditimpa musibah dengan mengebut hal-hal yang dapat menghilangkan duka. 
Doa Takziyah : 
“Moga-moga Allah swt menagndakan pahalamu dan memberi takziyah yang baik kepadamu serta mengampunkan yang mati itu”.
4. Apabila sudah hilang nyawa wajiblah dipejamkan matanya dan dirapatkan mulutnya jika terbuka, dengan cermat. Kemudian diikatkan dagunya untuk memelihara daripada dimasuki serangga. 
Doanya ialah : 
“Ya Allah Ya Tuhan kami ampunkanlah dia, Ya Allah Ya Tuhan kami rahmatilah dia”.
5. Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang sesuai. Sebaik-baiknya di atas katil dengan keadaan melentang mengarah ke qiblat.
6. Salinkan pakaian yang dipakai dengan pakaian yang bersih supaya tidak terbuka auratnya.
7. Letakkan sesuatu di atas perut untuk mengelak dari kembong perutnya.
8. Harus bagi ahli keluarganya menciumnya (ijmak para sahabat).
9. Ahli keluarga yang mampu segera tunaikan hutang si mati sekiranya ia menangguhkan hutang, sama ada dibayar dari harta peninggalan si mati atau atas pertolongan waris, kerana pada suatu ketika Rasulullah saw enggan menyembahyang ke atas jenazah yang mempunyai hutang sehingga dibayar hutangnya dan ditunaikan wasiatnya.
10. Segerakan pengurusan jenazah tersebut. 
Dari Ali Bin Abi Talib, Sabda Rasulullah saw mahfumnya : 
“Wahai Ali tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan, sembahyang apabila masuk waktunya, kebumikan jenazah apabila sudah sedia dan nikahkan anak dara apabila ada jodohnya”.
11. Mengumumkan kematiannya, kepada sahabat handai dan golongan orang-orang yang soleh agar segera menguruskannya.
12. Diharamkan ratapan, meraung, menjerit dan diharuskan menangis.
13. Diharamkan berkabung melebihi tiga hari.



Sunat Menyediakan Makanan Bagi Keluarga Yang Meninggal


Perbuatan ini disunatkan, kerana ia merupakan kewajipan dan pendekatan diri kepada keluarga mayat dan tetangga. 
Berkata Imam Syafi’e : 
“Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga mayat cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari satu malam, kerana itu adalah sunat dan merupakan perbuatan orang yang berbudi”. 

Sabda Rasulullah saw :

“Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’afar, kerana mereka sedang ditimpa musibah yang memilukan”. 
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Turmizi)

Para Imam memandang makruh hukumnya jika keluarga mayat menyediakan makanan buat orang yang datang kerana hal ini menambahkan kemalangan mereka, serta meniru perbuatan orang-orang Jahiliah.

Adalah menjadi kewajipan ke atas ahli keluarganya yang terdekat (warisnya) untuk menguruskan jenazah. Seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan jenazah mengikut peraturan-peraturan dan cara-cara yang telah ditetapkan oleh syarak.











Sunday, 30 August 2015

Kisah Teladan : Aku Dimakamkan Hari ini


Aku Dimakamkan Hari Ini
 
Kematian
 
Perlahan, tubuhku ditutup tanah, perlahan, semua pergi meninggalkanku, masih terdengar jelas langkah langkah terakhir mereka, aku sendirian, di tempat gelap yang tak pernah terbayang, sendiri, menunggu keputusan...

 
Isteri, belahan hati dan  jiwa turut pergi, anak, yang di tubuhnya darahku mengalir, juga turut pergi, kawan baik, rakan bisnes, atau orang-orang lain tidak ada lagi menemaniku kini. Aku bukan siapa-siapa lagi bagi mereka.
 
 
Isteriku menangis, sangat pedih, aku pun demikian, anakku menangis, tak kalah sedih, kawan baikku memberikan ucapan-ucapan takziah, tetapi aku tetap juga sendiri disini, menunggu hari perhitungan yang entah bila...
 
 
Menyesal sudah tak mungkin, taubat tak lagi mampu, dan ungkapan maaf pun tak mungkin didengari, aku benar-benar harus sendiri...
 
 
Ya Allah, (entah dari mana kekuatan itu datang, setelah sekian lama aku tak lagi dekat dengan-Nya), Andai saja Kau berikan aku satu lagi kesempatan, jika kau pinjamkan lagi beberapa hari milik-Mu, beberapa hari saja...
 
 
Aku ingin berjuang, memohon maaf dari mereka, yang selama ini telahku perlakukan zalim terhadap mereka, yang selama ini hidup sengsara kerana aku, yang tertindas dalam kuasaku.. yang selama ini aku bohongi, yang selama ini aku sakiti hati dan perasaan mereka....
 
 
Aku harus kembalikan, semua harta kotor ini, yang kukumpulkan dengan wajah gembira, yang kuragut dari sumber yang tak jelas, yang kumakan, bahkan yang kutelan. Aku harus tunaikan janji janji palsu yang sering ku katakana dulu...

 
Ya Allah, berilah aku beberapa hari milik-Mu, untuk berbakti kepada ayah dan ibu tercinta, teringat kata kata kasar dan keras yang kulemparkan dan menyakitkan hati mereka, maafkan aku ayah dan ibu, mengapa tak kusadari betapa selama ini besarnya kasih sayang dan kesempatan yang Kau berikan padaku, untuk berkumpul dengan keluarga,  isteri dan anakku, untuk sungguh sungguh beramal soleh, Ya Allah, sungguh aku ingin bersujud kepada-Mu, bersama mereka ...
 
 
Begitu sesal diri ini kerana hari hari yang telah berlalu tanpa makna lagi kini. Kesenangan yang pernah kuraih dulu, tak ada ertinya sama sekali. Mengapa aku sia siakan begitu saja sewaktu hidupku yang hanya sekali cuma....andai aku bisa putar kembali waktu itu Ya Allah ...
 
 
Aku dimakamkan hari ini, dan semua tidak mampu diundur lagi, semua sudah terlambat, dan aku harus sendiri di sini, untuk waktu yang entah bila pengakhirannya...