SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang
isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan
kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di
antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering
memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang
itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan
isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya
ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau
isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu
juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia
adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa
pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan
isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong
dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama
halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat
setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah
yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi
si pedagang tidak begitu mencintainya.
Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu
ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya
hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan
indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang
isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa
menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia
meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri
keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan
perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau
mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja
tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa
berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada
pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang
yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun
mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah
kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya
menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau
mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu,
dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu
setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku
perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan
mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku
tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang
kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”
Jawapan
itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan
ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia
bersamamu.”
Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu
dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya
tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa
menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu
lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini
isteriku.”
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;
ISTERI
KEEMPAT - adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang
kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya
akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada
keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI
KETIGA - adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal,
semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan
melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA -
adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan
mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai
kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA
ISTERI PERTAMA - adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering
mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi.
Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk
terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang
mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari
suami&isteri |
TQ for reading dis entry...semoga sihat selalu:)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen yang baik-baik ^_^