Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah.
Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman
ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi
nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi
hambanya.
Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama
memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin
Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.
Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam,
mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak
untuk diseksa.
“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak
atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,”
kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang
terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.
“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang
dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy
yang berjalan di sebelah Abu Jahal.
“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka
mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang
mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar
oleh pengikut Abu Jahal.
Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar.
Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada
bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak
seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa
melihat penderitaan ketiga beranak itu.
“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu
meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika
kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan
kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir,
Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala
sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh
Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada
tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari
tengah hari.
Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW
sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga
tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka
dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap
keluarga Yasir.
Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar
yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan
pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga
tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.
“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah
kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir
dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.
“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi
lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan
nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama
berhala Abu Jahal.
Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan
Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan
agama Allah.
“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima
tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang
seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran
berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada
tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada
keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal
mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit
Sumayyah.
“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan
keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan
agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah
Islam.
Sumayyah : hijaz
dalam diri selembut sutera kau miliki iman yang teguh
kau nyalakan obor agama dirimu bak lentera
dibelenggu jahiliah kau tempuh dgn berani
walaupun jasadmu milik tuan tetapi hatimu milik Tuhan…
kau nyalakan obor agama dirimu bak lentera
dibelenggu jahiliah kau tempuh dgn berani
walaupun jasadmu milik tuan tetapi hatimu milik Tuhan…
padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
tika suami dan anak dibaring menghadap mentari
disuruh memilih iman atau kekufuran
samar jahiliah atau sinaran akidah…..
tika suami dan anak dibaring menghadap mentari
disuruh memilih iman atau kekufuran
samar jahiliah atau sinaran akidah…..
sabarlah keluarga yasir
bagimu syurga disana
dan kau pun tegar memilih syurga
walau terpaksa mengoban nyawa
lalu tombak yang tajam menikam
jasadmu yang tiada bermaya
namun iman didadamu sedikit tidak berubah…
bagimu syurga disana
dan kau pun tegar memilih syurga
walau terpaksa mengoban nyawa
lalu tombak yang tajam menikam
jasadmu yang tiada bermaya
namun iman didadamu sedikit tidak berubah…
darahmu menjadi sumbu pelita iman
sumayyah kaulah lambang wanita solehah
tangan yang disangka lembut menghayun buaian
menggoncang dunia mencipta sejarah…
sumayyah kaulah lambang wanita solehah
tangan yang disangka lembut menghayun buaian
menggoncang dunia mencipta sejarah…
sumayyah kau dibunuh didunia sementara
untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
kaulah wanita terbaik
sebaik manusia
namamu tetap menjadi sejarah…
untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
kaulah wanita terbaik
sebaik manusia
namamu tetap menjadi sejarah…
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen yang baik-baik ^_^